Wednesday, June 15, 2011

CHELSEA SERIUS


WALAUPUN enggan menamakan kejuaraan mana menjadi sasaran utama, Ketua Eksekutif Chelsea FC, Ron Gourlay menyuarakan keyakinan The Blues bakal kembali memberi saingan sengit dalam setiap kejuaraan apabila saingan musim depan bermula.

Menurut Gourloy, harapan yang disandarkan peminat dan pemilik kelab adalah tinggi, terutama selepas kegagalan meraih sebarang kejuaraan liga domestik dan Eropah pada musim lalu.

“Harapan memang tinggi, sejak enam tahun lalu kami memenangi 10 trofi manakala dua tahun lalu kami meraih kejuaraan berganda (Liga Perdana dan Piala FA) namun aksi musim lalu sukar untuk kami. Namun kami tidak mudah melatah. Kami sebenarnya sudah mula membina dan menguatkan pasukan sejak awal musim lagi dengan pembelian pemain seperti Fernando Torres dan David Luiz,” katanya semalam.

Tambahnya, Chelsea FC juga kini berusaha mendapatkan dua atau tiga pemain baru bagi menguatkan pasukan namun enggan mendedahkan sebarang nama yang kini menjadi buruan. Beliau juga menjelaskan Didier Drogba yang sebelum ini dikaitkan berhijrah berkemungkinan besar turut hadir di Kuala Lumpur. Gourloy juga enggan mendedahkan siapa menjadi pilihan Chelsea FC untuk menjadi pengurus kelab itu selepas Carlo Ancelotti dipecat pada hujung musim lalu.

“Proses (rundingan) berjalan lancar. Kami mungkin mendapat pengurus baru dalam tempoh seminggu atau dua minggu, mungkin lebih cepat,” katanya.

Namun yang pasti peminat di Malaysia bakal menyaksikan pemain bintang Chelsea FC apabila Gourlay berjanji pihaknya akan menghantar skuad utama termasuk pengurus baru pada perlawanan menentang skuad negara pada 21 Julai di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Semua pemain akan kembali melapor diri pada 2 Julai dan mungkin perlawanan menentang Malaysia adalah yang pertama selepas mereka bersama untuk musim baru,” katanya yang menjelaskan Chelsea turut menyiapkan diri menghadapi Trofi Barclays Asia selang beberapa hari selepas aksi di Bukit Jalil itu.

Beliau terdahulu hadir pada kempen “Here To Play, Here To Stay” dengan melancarkan projek The Blue Pitch yang bakal menyaksikan jurulatih remaja kelab itu akan ke Malaysia sebanyak empat kali setahun bagi berkongsi kepakaran bersama jurulatih tempatan.

Sementara itu Pengarah Urusan Antarabangsa Proevents, San Boon Wah berkata, 15,000 keping tiket sudah dijual untuk perlawanan Malaysia menentang Chelsea, aksi menentang Arsenal pula 16,500 keping dan 20,000 bagi menentang Liverpool dengan tiga perlawanan itu berlangsung pada Julai ini...Harian Metro

No comments:

MY PICTURES

aDminez