TOKYO: Datuk Seri Najib Razak berkata, syarikat Jepun mengesahkan akan melabur RM3.8 bilion di Malaysia antara tahun ini dan tahun depan dalam pelbagai sektor, yang mencerminkan kepercayaan berterusan Tokyo terhadap Malaysia sebagai destinasi utama di rantau ini.
Bagi tempoh jangka panjang antara 2013 hingga 2015, mereka akan membuat pelaburan kira-kira RM5.22 bilion dalam projek berkaitan elektrik dan elektronik, logam, biomas, PCP serta substrat yang digunakan untuk membuat pemacu cakera keras, kata Perdana Menteri kepada pemberita mengenai lawatan dua harinya ke Jepun di sini.
Pelaburan jangka panjang itu termasuk pelaburan Tokuyama Corporation di Bintulu yang mengeluarkan polisilikon, sejenis bahan yang digunakan untuk mengeluarkan sel solar dan elektronik. Fasa pertama loji itu terdiri daripada pelaburan RM3.7 bilion yang akan siap pada 2013.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Luar Jepun, Takeaki Matsumoto serta perbincangan produktif dengan para peneraju industri dari Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca).
Pada sebelah pagi, Perdana Menteri menyampaikan satu ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-17.
Katanya, Matsumoto menyeru Malaysia menimbangkan syarikat Jepun bagi pelaburan dalam projek infrastruktur termasuk sistem Transit Pantas Massa (MRT) dan peluang lain yang timbul dari Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Matsumoto juga melahirkan penghargaan Tokyo terhadap langkah Malaysia kelmarin bagi membatalkan nasihat perjalanan yang dikeluarkan berikutan tragedi nuklear selepas gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac.
Malaysia ketika itu bimbang mengenai pencemaran radioaktif terhadap makanan yang diimport dari Jepun.
Sehubungan itu, untuk memudahkan pengimportan dari Jepun terutama produk makanan, Najib berkata kerajaan memutuskan satu sijil tempasal sudah mencukupi tanpa perlu dilakukan pemeriksaan setiap kargo yang diimport ke Malaysia.
Matsumoto juga melahirkan sokongan Tokyo terhadap Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun yang akan memulakan operasi pada September tahun ini dan mengesahkan bahawa satu pinjaman khas akan diberi kerajaan Jepun bagi memastikan kejayaan projek itu. Pada peringkat permulaan, Najib berkata enam pensyarah akan menyampaikan kuliah mengenai teknologi kejuruteraan gaya Jepun dengan bilangannya akan ditingkatkan akhirnya kepada 40. -Bernama
No comments:
Post a Comment